PROJEK ‘PRELOVED’ : SEBAR MANFAAT, UNDANG SENYUMAN
Politeknik Melaka, 10 Mac 2023 – Program Projek ‘Preloved’ : Sebar Manfaat, Undang Senyuman merupakan suatu inisiatif Puspanita PMK bagi mengumpulkan barang-barang keperluan yang masih elok keadaannya dan boleh digunakan lagi serta boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Sasaran utama penerima adalah golongan asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Selaras dengan nama program, mereka yang menghulurkan sumbangan barangan terpakai akan memberikan manfaat berterusan kepada penerima dan golongan yang menerima pula akan merasa keseronokan (undang senyuman) mendapat sedikit bantuan serta dapatlah membantu meringankan beban mereka.
Sekitar program yang telah berlangsung selama 3 minggu, banyak hasil sumbangan yang telah diterima daripada warga PMK terutamanya pakaian, barangan keperluan rumah, keperluan kanak-kanak dan pelbagai lagi yang masih boleh digunakan dengan baik. Jawatankuasa program telah menerima barangan lebih daripada sasaran, yang mana ternyata keprihatinan warga PMK sangat tinggi terhadap komuniti. Barangan telah disusun dan dipilih yang mana sesuai diberikan kepada golongan penerima atau tidak.
Memandangkan program ini mendapat sambutan yang tinggi, penghantaran barangan telah dihantar sebanyak dua kali ke MAIM berikutan barang yang terlalu banyak yang telah diletakkan di Bengkel Bata. Pihak MAIM mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga PMK yang cakna dengan kerja-kerja khidmat komuniti seperti ini.
Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan dikekalkan. Bersempena Syawal yang bakal berkunjung, semoga ianya dapat memberikan sinar kegembiraan buat semua penerima dan terima kasih yang tidak terhingga buat semua penyumbang.