PENGAGIHAN KOMPUTER RIBA DAN DANA ZAKAT AGENSI KORPORAT
Sumber : Melaka Hari Ini
BANDA HILIR 13 Mac – Seramai 165 pelajar Politeknik Melaka (PMK) dalam kalangan keluarga B40 menerima sumbangan zakat dan komputer riba daripada agensi korporat dalam sebuah majlis penyerahan di sebuah hotel, di sini, hari ini. Pengarah Politeknik Melaka, Sr. Razali Johari berkata, daripada jumlah tersebut 10 pelajar turut menerima sumbangan komputer riba. Katanya, bantuan yang disalurkan adalah dana zakat daripada agensi Maybank Islamik Berhad dan Honda Malaysia.
“Sumbangan zakat korporat yang diberikan ini dapat meringankan bebanan pelajar yang tergolong dalam keluarga B40 yang mana mereka ini kebanyakan tidak mampu unruk menjelaskan yuran pengajian satu semester. “Justeru, dengan bantuan yang diberikan dari Unit Zakat dan Wakaf Maybank Islamik Berhad yang menyumbang wang tunai sebanyak RM33,000 manakala Honda Malaysia selaku rakan industri menyumbang 10 unit komputer riba,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Serta Komputer Riba bersama Agensi Korporat dan Rakan Industri Kepada Pelajar B40 Politeknik Melaka di sebuah hotel di sini hari ini. Menurut Razali, walaupun Politeknik hanya mengenakan yuran pengajian minima iaitu RM200 satu semester, namun didapati masih ramai penuntut tidak mampu membayarnya. “Justeru, kita mengajak rakan-rakan korporat di luar sana untuk sama-sama membantu dengan menjalin kerjasama atau menjalankan program tanggungjawab sosial korport (CSR).
“Sekali gus, usaha itu dapat memberi manfaat kepada para mahasiswa yang kurang berkemampuan ini untuk meneruskan pengajian mereka,” katanya.