PROGRAM SUKANEKA ANAK-ANAK HARAPAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK 2022
9 NOVEMBER 2022 (RABU) – Satu program menyantuni anak-anak asnaf dan anak-anak yatim telah berjaya dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar Diploma Perniagaan Antarabangsa (DPI1A) bersama tiga orang pensyarah pengiring di Jabatan Perdagangan. Program sukaneka anak-anak harapan yang julung kali diadakan ini telah diadakan di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Harapan di Taman Krubong Perdana, Durian Tunggal, Melaka.
Program yang dilaksanakan ini adalah satu daripada kriteria projek penilaian berterusan untuk kursus ‘Business Management’. Di antara objektif program ini adalah untuk memupuk kredibiliti dan keyakinan diri di kalangan para pelajar dalam pengurusan dan penganjuran sesebuah program , di samping dapat meraikan dan menghargai kanak-kanak, kesedaran terhadap memelihara isu, hak, masa depan, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia.
Seramai 23 orang pelajar dari kelas DPI1A yang terlibat dalam penganjuran program ini dan 22 orang kanak-kanak sebagai peserta dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Harapan ini. Antara aktiviti yang dijalankan semasa sukaneka ini dilaksanakan ialah mencari gula-gula dalam tepung, membawa bola ping-pong di dalam sudu, acara belon air dan mewarna kanak-kanak. Keriangan terpancar di wajah anak-anak harapan ini dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Pelajar DPI1A dilihat memberi komitmen yang baik sebagai jawatankuasa program. Program diselangi dengan sesi ramah mesra dengan anak-anak harapan dan jamuan makan. Program diakhiri dengan acara penyampaian hadiah dan sumbangan ikhlas daripada warga Jabatan Perdagangan Politeknik Melaka kepada anak-anak harapan. Diharapkan program ini dapat mencapai objektifnya, memberi input dan manfaat kepada para pelajar dan anak-anak asnaf/yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Harapan di Taman Krubong Perdana.
Disediakan oleh: Norazlina Daut, JP