PROGRAM PECUTAN PERNIAGAAN PELAJAR (4P): DIGITAL MARKETING LIKE A PRO
05 November 2022 (SABTU)- Program Digital Marketing Like A Pro telah dilaksanakan di Hotel Sentral Melaka bermula pada 4 November 2022 (Khamis) sehingga 5 November 2022 (Sabtu). Program yang dilaksanakan selama tiga hari ini adalah merupakan program di bawah dana Pecutan Perniagaan Pelajar (4P).
Matlamat utama program ini adalah untuk memberikan kemahiran yang kukuh dalam membentuk pelajar supaya mampu untuk bekerja sendiri dan memiliki perniagaan. Dalam usaha mencipta perniagaan, pelajar harus terus belajar sesuatu yang baharu terutamanya berkaitan dengan pemasaran digital untuk mempertingkatkan keupayaan perniagaan agar mampu berhadapan dengan cabaran dalam dunia keusahawanan yang sebenar seiring dengan teknologi terkini.
Antara pengisian utama sepanjang program ini berlansung ialah “Coaching Bersama Mentor lndustri” yang disampaikan oleh Encik Najmuddin Bin Azik. Sesi ini dilaksanakan mengikut pengkhususan bidang perniagaan dengan perkongsian input tentang perniagaan dan pemasaran oleh Coach kepada coachee (peserta) dan akan disusuli dengan hands-on oleh para peserta. Peserta terdiri daripada 6 orang pelajar semester lima dan empat dari Program Diploma Perniagaan Antarabangsa dan Program Diploma Akauntansi. Tiga orang pensyarah iaitu Puan Noor Azira Binti Sawal, Puan Nurena Binti Abdullah dan Puan Tuty Binti Kamis bertindak selaku mentor bagi pelajar-pelajar ini sepanjang program dilaksanakan.
Sesungguhnya proram ini memberikan pengalaman yang sangat berharga buat semua peserta seiring dengan hasil pendedahan yang diberikan oleh Encik Najmuddin yang sangat bersesuaian dengan matlamat utama meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam dunia pemasaran digital. Program ini tidak hanya terhenti pada hari terakhir berlansungnya program ini, Encik Najmuddin dengan berbesar hati akan membuat pemantauan hasil kerja dan jualan pelajar selama dua bulan. Besar harapan kami agar para pelajar bukan sahaja dapat menghasilkan jualan yang tinggi malah memperoleh ilmu yang dapat digunakan sepanjang hayat mereka dalam menghadapi cabaran dunia masa kini.
Sumber: Cik Nurul Safwanah binti Muhammad Saleh