SEMINAR IR4.0 “PERKEMBANGAN TEKNOLOGI DIGITAL DALAM MENDEPANI ERA REVOLUSI INDUSTRI IR4.0”
Sumber: Encik Md Saifuddin Bin Md Yusop, Penyelaras Teknologi Digital PMK
26 OKTOBER 2022 – Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan (ULPL) Politeknik Melaka dengan kerjasama Penyelaras Teknologi Digital Politeknik Melaka telah menganjurkan Seminar IR4.0 yang bertajuk Perkembangan Teknologi Digital Dalam Mendepani Era Revolusi Industri IR4.0 yang bertempat di Dewan Serbaguna Politeknik Melaka.
Seramai 30 orang pensyarah dari pelbagai jabatan telah hadir untuk sama-sama mendengar dan menambah ilmu berkenaan topik yang semakin hangat diperkatakan iaitu Revolusi Industri 4.0. Teknologi digital menjadi salah satu tunjang kepada Revolusi Industri 4.0 telah berkembang pesat sejak mutakhir ini di tambah pula dengan terjadinya beberapa fasa penutupan penuh (total lockdown) akibat dari wabak Covid19, telah merancakkan lagi kepesatan perkembangan teknologi digital.
Objektif seminar ini diadakan adalah untuk memberi maklumat serta pendedahan kepada staf akademik di Politeknik Melaka berkenaan perkembangan pesat teknologi digital di dalam era Industri Revolusi 4.0. Di samping itu, ianya juga adalah untuk menyambut saranan kerajaan melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang menyarankan 100% penjawat awam celik digital menjelang tahun 2025.
Penceramah yang telah di jemput untuk memberikan taklimat adalah Encik Khairil Anuar Bin Ahmad Maruwi dari Syarikat KRC Electronic. Beliau merupakan seorang Pengurus Teknikal di KRC Electronic dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang elektonik, pembuatan produk inovasi dan teknologi digital. Seminar IR4.0 telah di akhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Pengarah Politeknik Melaka, Sr Hj Razali Bin Johari.