KEM KEPIMPINAN PEMBIMBING RAKAN SISWA DAN MAJLIS WATIKAH MELONJAKKAN PRESTASI PENGLIBATAN PELAJAR POLITEKNIK MELAKA.
Pada 15-16 Oktober 2022, Unit Psikologi dan Pembimbing Rakan Siswa telah mengadakan Program Kem Kepimpinan dan Pelantikan Pentauliahan di Agrofarm Durian Tunggal Melaka. Peserta yang menyertai program ini seramai 27 pelajar dan seorang pegawai pengiring. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan sikap kepimpinan peserta dengan mengubah tingkah laku, emosi dan pemikiran mereka terutamanya ketika mengendalikan program dan memupuk semangat bekerjasama dalam kumpulan. Majlis perasmian penutup ini telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPP) Politeknik Melaka Puan Zeyana binti Abdullah. Program yang berkonsepkan kepimpinan melalui teladan merupakan program yang julung kalinya diadakan selepas pasca covid. Program yang melibatkan kesemua Majlis Tertinggi PRS serta ahli PRS bertujuan untuk menanamkan semangat kepimpinan melalui modul leadership style. Pelajar turut diberi pengisian melalui ice breaking dan pembentukan kumpulan yang lebih kecil. Pembahagian tugasan secara hands on dan pembentangan turut diselitkan oleh wakil setiap kumpulan. Peserta turut menjalani aktiviti beriadah dan berekreasi dan bersama sama melontarkan pandangan melalui sesi refleksi diri. Peserta dibahagikan melalui beberapa kumpulan untuk menyertai explorace pada sebelah petang. Peserta diuji ketahanan mental dan fizikal bagi menjawab segala soalan dan bersama-sama memikul tanggungjawab sebagai ahli kumpulan. Hasil dari itu, kebanyakan peserta dilihat bekerjasama dan berani menyahut cabaran dan halangan yang sedia ada bagi mengatasi kekurangan diri sendiri dan ahli kumpulan yang lain.
Pengisian kem kali ini bukan sahaja bertujuan menanamkan semangat berkumpulan dan kepimpinan. Malah, program ini bertujuan memberikan pengiktirafan kepada Biro Lantikan Baru yang bakal memimpin PRS pada semester yang akan datang serta memberikan laluan kepada barisan pelapis mempelajari ilmu pengetahuan baharu melalui penyediaan kertas kerja, pembikinan google form dan perkara lain yang melibatkan aspek teknikal. Program ini diteruskan pada hari berikutnya melalui pembentangan sesi taklimat kaunseling oleh Pegawai Psikologi PMK dan sesi pengucapan awam oleh peserta membincangkan pengalaman yang mereka perolehi selama dua hari berkampung di Agrofarm Durian Tunggal. Di akhir program, sesi perasmian penutup diadakan pada sebelah tengahari diikuti dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik dan sesi bergambar bagi merakamkan tanda kenangan. Secara keseluruhan, program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta dan diharapkan program selepas ini berjalan dengan jayanya.
Laporan disediakan oleh,
Unit Psikologi
Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar
Politeknik Melaka