PENDEKATAN KAUNSELING KELOMPOK DAN SOKONGAN PEMBIMBING RAKAN SISWA MEMPERTINGKATKAN KESEJAHTERAAN DIRI SISWA SISWI POLITEKNIK MELAKA.
Pada 22 September 2022, Unit Psikologi dan Pembimbing Rakan Siswa telah mengadakan Program Sasaran Kejayaan di Dewan Serbaguna Politeknik Melaka (DSG). Peserta yang menyertai program ini seramai 116 peserta dalam kalangan Jabatan yang diwajibkan untuk menghadiri ke program ini. Program ini telah berlangsung bermula pukul 8:00 pagi sehingga 12:30 tengah hari. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesejahteraaan peserta dengan mengubah tingkah laku, emosi dan pemikiran mereka supaya lebih positif. Program ini telah dimulakan dengan ucapan daripada Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPP) Politeknik Melaka Puan Zeyana binti Abdullah. Program diteruskan dengan sesi kaunseling kelompok untuk mereka meneroka masalah masing-masing dan untuk mencapai sasaran pada semester ini. Peserta dibahagikan kepada sepuluh (10) kumpulan dan mereka bekerjasama menyertai Sesi Kaunseling Kelompok yang dikendalikan oleh fasilitator Ahli Pembimbing Rakan Siswa yang telah dipilih untuk membantu peserta. Hasil dari sesi kelompok, kebanyakan peserta dilihat telah bekerjasama dan bersatu memberikan penyelesaian bagi mengatasi kekurangan diri dalam mensasarkan kejayaan diri pelajar. Pengisian kelompok kali ini bertujuan menyedarkan diri peserta kepada perkara-perkara yang membataskan perkembangan mereka untuk berjaya. Peserta diminta untuk menyenaraikan perkara yang menghalang dan cara mengatasi halangan tersebut menerusi minda separa sedar. Peserta diajar untuk mencari kebolehan diri masing-masing dan berazam untuk mengubah apa yang kepada positif. Selesai sahaja sesi kelompok, program diteruskan dengan selingan energizer daripada Pembimbing Rakan Siswa untuk menceriakan lagi suasana program dan semasa sesi ini dijalankan para pelajar kelihatan lebih bersemangat dan gembira ketika beraksi.Program ini diakhiri dengan penghasilan Papan Visi atau Vision Board untuk membantu peserta menggunakan keupayaan visualisasi kejayaan dengan meletakkan sasaran yang peserta kehendaki. Vision board ini boleh dihasilkan menerusi sasaran jangka pendek dan panjang peserta dengan menggabungkan elemen spiritual dan elemen psikologi bagi membangkitkan motivasi dalam kalangan peserta. Di akhir program, peserta diminta untuk membuat visualisasi dengan meletakkan sasaran kejayaan buat mereka. Secara keseluruhan, program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta dan diharapkan mereka bakal mencapai kejayaan selepas ini.
Laporan disediakan oleh,
Unit Psikologi
Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar
Politeknik Melaka.