Melaka, 01 Hingga 15 September 2022 – Unit Pendidikan Islam, Jabatan Pengajian Am (JPA), Politeknik Melaka (PMK) telah berjaya menganjurkan Program Semarak Patriotisme bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan Politeknik Melaka. Program ini berlangsung dari 01 September hingga 15 September 2022 secara atas talian dan juga di Politeknik Melaka. Terdapat 3 buah acara telah diadakan dalam program ini iaitu : Pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Pertandingan Penghasilan Video Patriotik dan Peraduan Tekasilangkata Kenegaraan. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada semua pelajar Politeknik Melaka yang terdiri daripada semua jabatan dan semua semester. Objektif program ini diadakan adalah untuk memupuk semangat patriotik dan semangat cintakan negara dalam diri para pelajar, melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif, di samping membudayakan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

 

Pertandingan Kuiz Kemerdekaan diadakan secara atas talian pada 05 September 2022 dan mendapat sambutan yang luar biasa daripada para pelajar di mana seramai 145 orang pelajar telah menyertai pertandingan ini. Pemenang dikira berdasarkan masa menjawab yang terpantas dan ketepatan jawapan. Johan dimenangi oleh Muhammad Zakwan Danial Bin Mohd Zaki daripada Jabatan Kejuteraan mekanikal. Naib Johan pula dimenangi oleh Noor Naqibah Binti Megat Ghazali daripada Jabatan Pedagangan manakala Tempat Ketiga dimenangi oleh Aina Atirah Binti Mohd Shahridzuan juga daripada Jabatan Perdagangan.

Pertandingan Penghasilan Video Patriotik berlangsung dari 01 September hingga 15 September 2022. Peserta diminta menghasilkan video bertemakan patriotisme dan kemerdekaan dan memuat naik video tersebut di laman sesawang Youtube. Video para peserta telah diadili oleh Encik Hishamuddin Shah Bin Ibrahim iaitu Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Secara keseluruhannya, semua peserta telah berjaya menghasilkan video yang bertepatan dengan tema pertandingan.  Video yang dihasilkan juga sangat menarik dan kreatif. Peserta telah dinilai berdasarkan kepada isi, kualiti, kreativiti, audio serta grafik video yang dihasilkan. Johan dimenangi oleh Muhammad Wafiq Bin Yusoff. Naib Johan dimenangi oleh Muhammad Hafiz Bin Nor Rizam manakala Tempat Ketiga dimenangi oleh Muhammad Ezzul Fareez Bin Suib. Kesemua pemenang adalah daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Peraduan Tekasilangkata Kenegaraan pula diadakan pada 05 September 2022 bertempat di Politeknik Melaka di mana peserta dikehendaki menjawab soalan tekasilangkata yang bertemakan kenegaraan. Pemenang dikira berdasarkan ketepatan jawapan dan kepantasan masa menjawab. Seramai 13 orang peserta telah mengambil bahagian dalam peraduan ini. Johan dimenangi oleh Muhammad Aminudin Bin Che Arbi daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Naib Johan pula dimenangi oleh  Azrol Syafeq Bin Dzulkarnain juga daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik manakala Tempat Ketiga dimenangi oleh Muhammad Hikmi Bin Md Pozan daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Secara keseluruhannya, Program Semarak Patriotisme ini telah berjalan dengan lancar dan objektif pertandingan ini telah tercapai dengan jayanya seperti yang dirancang.