Program Khidmat Komuniti Ilmiah : JMSK Prihatin di PAYASUM
Sumber : Ahmad Fadli bin Abd Hadi
Sungai Udang, MELAKA - 24 September 2022. Satu program Khidmat Komuniti Ilmiah:JMSK Prihatin anjuran Jabatan Matematik, Sains dan Komputer telah berlangsung pada 24 September 2022 di Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Islam Melaka (PAYASUM), Sungai Udang. Program telah bermula seawal 8.00 pagi dan telah dirasmikan oleh Sr.Hj Razali bin Johari, Pengarah Politeknik Melaka. Program ini sebenarnya satu manifestasi untuk mewujudkan interaksi dua hala antara pihak politeknik dengan komuniti setempat bagi bersama-sama berkongsi idea dan tenaga untuk memajukan komuniti setempat. Program yang berfokuskan kepada “Fun Math” dan “Amazing Science”, aktiviti yang dilaksanakan mensasarkan beberapa objektif penting untuk dicapai antaranya memberi pendedahan kepada pelajar tentang Matematik, Sains dan Teknologi serta memupuk minat pelajar terhadap subjek yang berteraskan kepada Matematik dan Sains. Selain itu juga, program ini menjadi platform untuk memperkenalkan Politeknik Melaka kepada komuniti setempat sebagai salah satu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Program yang dijalankan melibatkan 70 orang penghuni Payasum dan dikendalikan oleh 13 orang staf JMSK dibantu oleh 15 orang pelajar politeknik pelbagai jabatan yang hadir secara sukarela serta kaunselor pelatih. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti senamrobik, Al-Khawarizmi Explorace dan “Do It Yourself-Bridge”. Program tamat sekitar jam 1.30 petang. Diharapkan program seperti ini dapat lagi diteruskan pada masa akan datang.