SMART LEARNING PROGAMME @ PKAYIM
Muar, 01 Julai 2022 (JUMAAT) – Program Smart Learning anjuran Jabatan Perdagangan, Politeknik Melaka telah dilaksanakan di Dewan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Muar (PKAYIM). Program yang julung kalinya diadakan di PKAYIM ini melibatkan 57 orang penghuni yang terdiri daripada 20 orang pelajar putera dan 37 orang pelajar puteri. Aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan oleh wakil alumni PKAYIM. Suasana pagi di PKAYIM pada hari itu sungguh ceria seperti sebuah keluarga dengan kehadiran kami bersama anak-anak ini.
Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk membantu anak-anak PKAYIM menyusun strategi serta mendapatkan kaedah pembelajaran yang lebih efektif. Ini berikutan berdasarkan maklumat yang diterima, kebanyakan pelajar telah hilang fokus dan semangat dalam pembelajaran berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara sepanjang tempoh dua tahun ini. Justeru itu, program ini turut menjemput pakar motivasi yang terkenal iaitu Dr. Syed Faizal Sitheek Rahman untuk turut serta menjayakan program ini dengan tajuk yang sangat menarik iaitu “Motivasi & Kemahiran Sistem Best Belajar”. Penceramah memulakan program dengan sesi Ice Breaking dan pembahagian kumpulan. Semua pelajar sangat teruja dengan penyampaian Dr. Syed Faizal yang sangat menarik dan energetik. Pelbagai kemahiran telah diperolehi sepanjang program ini. Antaranya pelajar dapat mempelajari kaedah mudah untuk mengingati fakta penting dalam pembelajaran melalui kaedah penceritaan. Selain daripada itu, program ini juga dilihat dapat mendedahkan pelajar untuk membentuk softskill dan hardskill dalam berinterakasi. Ini kerana pelajar harus bersedia untuk membuat perkongsian bersama rakan-rakan yang lain bagi aktiviti yang dilaksanakan.
Sesungguhnya program ini memberikan pengalaman yang sangat berharga buat kami semua serta membawa seribu keceriaan di hati penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Muar (PKAYIM). Besar harapan kami agar program seperti ini diteruskan lagi dengan program yang sangat bermanfaat agar ukhuwah yang telah dibina dan dipupuk ini kekal selamanya, bukan hanya sekadar menjadi kisah klasik untuk dikenang.
Disediakan oleh: Nurul Safwanah Binti Muhammad Saleh