‘Train To Dabong’ oleh Kelab Kembara Politeknik Melaka.
Oleh : Norzainariah Bin Abu Hassan
27 Mei - Jauh perjalanan, luas permandangan. Itulah yang dirasai oleh 30 orang pelajar Kelab Kembara Politeknik Melaka sebaik selesai mengikuti misi pengembaraan bagi Program ‘Kembara Keretapi 20 jam: PMK-Gemas-Dabong-Gemas-PMK. Program anjuran Jabatan Kejuruteraan Awam dan Unit Sukan, Kokorikulum dan Kebudayaan ini mendapat kerjasama pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad di mana sebaik tiba, rombongan disambut oleh wakil pengurusan Stesyen KTMB Dabong yang memberikan taklimat ringkas.
Dabong dipilih sebagai destinasi pilihan kerana pengembaraan ke sini mendedahkan pelajar kepada dunia pengembaraan sebenar – kembara dengan menaiki keretapi (sleeper train), menikmati alam semulajadi serta pengalaman mempelajari budaya di tempat asing. Di samping itu juga, program ini dapat meningkatkan populariti perkhidmatan keretapi dan memberi impak yang besar terhadap aktiviti sosioekonomi penduduk tempatan.
Para peserta didedahkan dengan aktiviti mengeksplorasi Gua Ikan, menikmati permandangan alam semulajadi di Lata Kertas dan Gunung Stong , mandi di Air Terjun Jelawang dan Sungai Kinarung, serta merasai Mee Udang Kak Nah yang terkenal. Rombongan turut mendapat jemputan ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Dabong dan disambut mesra oleh YB DUB Ku Mohd Zaki Ku Husin dan isterinya. Peserta program dijamu dengan makanan tradisional Kelantan dan beramah mesra dengan penduduk tempatan.
Secara keseluruhannya, program ini memberi impak yang besar dari segi pembentukan jati diri dan sahsiah pelajar melalui komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Kemahiran tanggungjawab sosial mereka juga dapat ditonjolkan dan ini dapat mempromosikan Politeknik Melaka ke dunia luar.