Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik Politeknik Melaka dengan Sealestial Marine Seaferer Trading Centre (SEAMASTER)
16 Mac 2022 – Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik telah diadakan di Bilik Persidangan, Politeknik Melaka (PMK) pada 16 Mac 2022. Sijil kolaborasi merujuk kepada suatu penyataan dan persetujuan awal pihak-pihak untuk bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti di peringkat jabatan dan institusi tanpa mewujudkan suatu ikatan undang-undang terhadap hasrat kerjasama yang ingin dilaksanakan antara kedua-dua pihak. Majlis telah dihadiri oleh Capt. Kenneth Khoo LM.I.K selaku Pengarah /Pengurus Besar SEAMASTER dan Puan Anita Danker, Pengarah SEAMASTER yang bersetuju untuk menjadi rakan kolaborasi PMK. Majlis turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi PMK yang terdiri daripada Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai PMK. Majlis bermula pada jam 3.00 petang dengan dipengerusikan oleh En. Anuar bin Ismail dan berakhir pada jam 4.30 petang. Majlis ini diadakan bagi tujuan mengeratkan serta mengukuhkan lagi hubungan kolaborasi antara Politeknik Melaka dengan industri. PMK dengan penglibatan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan SEAMASTER bekerjasama dalam perkongsian ilmu dan kepakaran melibatkan kerjaya pelaut kepada pelajar, penawaran peluang pekerjaan kepada graduan Politeknik Melaka, penempatan latihan industri pelajar seterusnya memberi penawaran pekerjaan, pelaksanaan kursus bersemuka dan kemahiran melibatkan komuniti pelaut serta kerjasama latihan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang yang bersesuaian. Selain itu, majlis menandatangani sijil kolaborasi strategik ini diadakan bagi memastikan jalinan kerjasama antara Politeknik Melaka dan industri sentiasa diteruskan dengan program-program bermanfaat untuk kebaikan kedua-dua pihak. Diharapkan majlis ini dapat memberi dampak kepada imej dan keterlihatan Politeknik Melaka sebagai penyedia TVET utama di Malaysia.