‘MISI CAKNA MANGSA BANJIR’ BANTU RINGANKAN BEBAN
9 Januari 2022, Kuala Lipis, Pahang – Kelab PUSPANITA dan Jawatankuasa Muafakat Politeknik Melaka (PMK) telah berjaya melaksanakan Program “MISI CAKNA MANGSA BANJIR” yang mensasarkan kutipan untuk pembelian kit keluarga bagi membantu mangsa banjir di sekitar daerah Lipis, Pahang. Melalui program ini, sumbangan berupa kit keluarga yang mengandungi telekung, tuala wanita, sejadah, set kebersihan diri, tudung sarung dan beberapa item lain berjaya dikumpulkan. Program ini juga adalah kerjasama bersama Radicare Sdn. Bhd. cawangan Lipis Pahang.
Program berupa Corporate Social Responsibility (CSR) ini telah berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 7 hari ianya berlangsung. Sumbangan yang telah dikumpulkan dapat dijadikan 65 beg yang mengandungi kit keluarga dan telah berjaya diserahkan kepada Radicare Sdn. Bhd. cawangan Lipis Pahang untuk diagihkan kepada komuniti yang terjejas banjir di sekitar daerah Lipis. Semoga dengan sumbangan yang dihulurkan daripada warga Politeknik Melaka ini dapatlah serba sedikit membantu meringankan beban mangsa banjir tersebut dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang serta semua jawatankuasa yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.