como crear una pagina web

Oleh : Mohd Khairuddin bin Ahmad Khair

Melaka, 9 Februari 2025 – Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Melaka telah berjaya menganjurkan Kem Kepimpinan Pelajar Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) bagi sesi II 2024/2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 Februari hingga 9 Februari di D Village Resort, Ayer Keroh. Program ini bertujuan untuk melatih dan membentuk pemimpin pelajar yang berwibawa, berdisiplin, dan berdaya saing dalam mengendalikan organisasi serta aktiviti kampus.

Seramai 34 peserta, terdiri daripada ahli JPP , Gerakan Pengguna Siswa serta wakil kelab persatuan telah menyertai kem ini. Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai modul latihan seperti komunikasi berkesan, pengurusan organisasi, kerja berpasukan, dan penyelesaian masalah.

Pengarah Politeknik Melaka, Dr. Hjh Shahiza binti Dato' Hj Ahmad Zainuddin dalam ucapan perasmian penutup Kem Kepimpinan Pelajar menekankan kepentingan kepimpinan dalam kalangan pelajar. “Pemimpin bukan hanya dilahirkan, tetapi dibentuk melalui pengalaman dan latihan yang berterusan. Saya berharap program ini dapat melahirkan pemimpin yang mampu membawa perubahan positif kepada institusi dan masyarakat,” katanya.

Selain sesi bengkel dan ceramah, peserta juga diuji dengan aktiviti luar seperti eksplorasi kepimpinan dan latihan membina pasukan (team building) yang menguji ketahanan fizikal serta mental.

Yang Di-Pertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Politeknik Melaka, Nur Ainaa Sofiyah Binti Muhammad Hamizan menyatakan bahawa program ini sangat bermanfaat. “Kami belajar banyak perkara tentang kepimpinan, cara mengurus konflik, dan bekerja dalam pasukan. Ia memberi pengalaman yang sangat berharga untuk masa depan kami,” katanya.

Kem Kepimpinan 2025 ini diakhiri dengan sesi refleksi dan penyampaian sijil kepada para fasilitator yang terdiri daripada Alumni JPP Politeknik Melaka sebagai tanda penghargaan. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi kepimpinan muda yang cemerlang.

BERITA PMK

CAPAIAN POPULAR

Ke Atas