PROGRAM ‘UPGRADE YOUR E-MAAN’ MENUJU GENERASI BE-TAQWA
Oleh : Nor Suriati binti Jamaludin
Melaka, 13 April 2026 – Unit Pendidikan Islam Jabatan Pengajian Am, Politeknik Melaka dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Melaka telah menganjurkan Program ‘UPGRADE YOUR E-MAAN’ Menuju Generasi BE-TAQWA bertempat di Pusat Islam Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Melaka.
Program ini memberi fokus kepada pembentukan kefahaman ibadah asas seperti bacaan surah al-Fatihah dan pelaksanaan solat sevara sahih, teratur dan beradab. Integrasi ilmu teori serta latihan amali dilihat mampu meningkatkan keyakinan pelajar dalam menghayati ibadah secara holistik, selain membina peribadi yang lebih berdisiplin dan berkesedaran rohani. Program ini juga menjadi salah satu usaha melahirkan pelajar yang mampu melaksanakan peranan ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah secara praktikal agar dapat diamalkan dalam kehidupan mereka seharian. Bertemakan ‘Ibadah Cemerlang, Pelajar Gemilang’, program ini juga bertujuan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mampu melengkapkan diri mereka dengan sahsiah dan rohani yang terpuji. Program ini memberi penekanan kepada pemantapan ibadah asas, khususnya dalam aspek bacaan Surah lazim al-Quran dan pelaksanaan solat secara sahih melalui pendekatan yang menggabungkan penerangan, latihan praktikal serta sesi interaksi dua hala bagi membantu pelajar memperjelas kekeliruan dalam amalan harian.
Program ini disertai oleh seramai 50 orang pelajar Politeknik Melaka yang terdiri daripada para pelajar semester 2 Jabatan Perdagangan iaitu dari program Diploma Perniagaan Antarabangsa (DPI ) dan Diploma Perakaunan (DAC) yang mengambil kursus MPU23152-Pengajian Islam. Program ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Melaka iaitu Dr. Azlan Bin Muharam. Program ini dimulakan dengan Slot Pertama iaitu Tahsin Surah Al-Fatihah dan Tahsin Solat diperkukuhkan dengan penglibatan pelajar Plus Tahfiz UiTM Melaka dari program Diploma Muamalat sebagai fasilitator, di samping slot penghayatan rohani yang menambah nilai kefahaman dan kesedaran kendiri dalam kalangan peserta. Slot Kedua pula ialah Penghayatan Surah Al-Kahfi : Membangun Umat, Menangkis Fitnah oleh penceramah Zamalah YADIM. Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Abdul Halim Bin Ismail selaku Pengarah YADIM Negeri Sembilan & Melaka.
Melalui program ini, kesedaran mendalam terhadap kepentingan ibadah berkualiti serta membentuk keseimbangan antara kerohanian, akhlak dan tindakan sosial yang positif dapat disemai dalam diri pelajar selain dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan iman dan karakter pelajar, seterusnya membawa mereka ke arah menjadi insan yang lebih beradab, berilmu dan beramal melalui tema Upgrade Emaan, Menuju Generasi BE-TAQWA.










































