LAWATAN TAPAK PROJEK NAIK TARAF RANGKAIAN WI-FI DI POLITEKNIK MELAKA
Oleh: Nur Ashikin binti Aziz
Melaka, 31 Jan 2025 – Politeknik Melaka (PMK) telah dipilih sebagai salah satu lokasi bagi projek penambahbaikan rangkaian kesalinghubungan Wi-Fi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Satu sesi taklimat dan lawatan tapak telah diadakan dengan kehadiran wakil dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), pegawai ICT, serta pasukan pengurusan PMK.
Pengarah Politeknik Melaka, Dr. Hjh. Shahiza Binti Dato' Hj. Ahmad Zainuddin menyatakan bahawa projek ini amat penting bagi memastikan kemudahan internet yang lebih baik dapat dinikmati oleh warga kampus. Beliau juga menekankan bahawa peningkatan akses internet berkualiti tinggi adalah keperluan kritikal bagi menyokong aktiviti akademik, penyelidikan, dan pentadbiran di PMK.
PMK, sebagai sebuah institusi TVET yang berkembang pesat, beroperasi dalam persekitaran unik di tengah bandar. Oleh itu, projek naik taraf ini dijangka menjadi pemangkin kepada ekosistem pembelajaran digital yang lebih kondusif selaras dengan agenda pendigitalan negara.
Pihak PMK komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak yang terlibat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan. Projek ini diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada seluruh warga Politeknik Melaka dan Politeknik Malaysia secara amnya.