Oleh : Mohd Khairuddin bin Ahmad Khair

 

5 - 6 Oktober 2024,Melaka -  Kem Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kali Ke-36 telah diadakan di Melaka Forest Resort, Ayer Keroh, selama dua hari satu malam. Kem ini melibatkan 39 peserta yang terdiri daripada Barisan Majlis Perwakilan Pelajar, Pengerusi Jabatan, dan Presiden Kelab Politeknik Melaka. Program ini bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan serta memperkukuh hubungan dalam kalangan kepimpinan pelajar Politeknik Melaka.

Sepanjang kem, peserta diberi peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang menguji kekuatan fizikal dan mental mereka, antaranya Flying Fox, Nightwalk, Rentas Halangan, Kayak, serta Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama Majlis Perwakilan Pelajar. Selain aktiviti outdoor, peserta juga terlibat dalam pembentangan kertas kerja dan laporan, yang memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi dan pengurusan.

Kem ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak, termasuk fasilitator yang telah memberi bimbingan sepanjang program. Penghargaan istimewa diberikan kepada Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar, serta Para Penasihat Majlis Perwakilan Pelajar yang telah menyokong penganjuran kem ini.

Majlis penutupan kem disempurnakan oleh Puan Nor Azah Binti Mat Sout, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan Pelajar Politeknik Melaka, yang juga merasmikan majlis penutupan. Dalam ucapan penutupan, beliau berharap kem ini dapat mengukuhkan lagi semangat kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar, yang seterusnya akan memberi manfaat kepada seluruh warga Politeknik Melaka.

Diharapkan kem sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk terus menyemarakkan semangat kepimpinan dalam kalangan pemimpin pelajar Politeknik Melaka.