MAJLIS APRESIASI JKM 2025 RAI PELAJAR DALAM SUASANA GEMILANG
Oleh: Muhamad Faiz Jofri
Grand SwissBel Hotel, 7 November 2025 – Majlis Apresiasi JKM 2025 dengan tema “Shining Towards Tomorrow” berlangsung dengan meriah di Grand SwissBel Hotel malam ini. Program anjuran Kelab MESAC, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Melaka ini menghimpunkan para pelajar daripada kelas DKM4A, DKM4B, DKM5A dan DKM5B bagi meraikan pencapaian serta komitmen mereka sepanjang tahun akademik. Majlis yang bermula pada jam 7.00 malam itu menampilkan konsep smart casual, memberikan suasana segar dan santai namun tetap penuh bergaya. Pelbagai anugerah penghargaan disampaikan sebagai pengiktirafan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam kepimpinan, akademik dan penglibatan aktiviti. Menurut wakil penganjur, program ini dianjurkan sebagai platform untuk menghargai usaha pelajar JKM yang sentiasa komited dalam meningkatkan kompetensi diri serta menyumbang kepada kecemerlangan jabatan. Beliau turut menegaskan bahawa apresiasi seperti ini penting bagi menyuntik motivasi kepada pelajar untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang masing-masing. Majlis berakhir pada jam 11.00 malam dengan sesi fotografi dan jamuan, menandakan penutup yang penuh bermakna bagi komuniti JKM pada tahun 2025.


