SIDANG IDEA MALAYSIA (MYIDEAS) 2025 – MALAYSIA IDEAS SUMMIT
Oleh : Muhamad Faiz Jofri
Putrajaya, 6 November 2025 – Sidang Idea Malaysia (MYIDEAS) 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Plenari, bermula jam 8.45 pagi hingga 2.00 petang. Program berprestij ini menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan, pemimpin industri, serta wakil kementerian bagi membincangkan hala tuju pembangunan idea dan inovasi negara berasaskan nilai serta kemahiran masa depan.Sesi pertama bertajuk “AI dan Pemerkasaan Masa Depan TVET: Peningkatan & Penyesuaian Kemahiran” dipimpin oleh Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia Malaysia. Perbincangan ini memberi tumpuan kepada peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh sistem TVET, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan menyesuaikan keperluan industri dengan transformasi digital.Sesi kedua diteruskan dengan forum bertajuk “Penupukan Nilai AI: Membentuk Bakat untuk Masa Depan” yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Forum ini menekankan pembinaan bakat muda melalui nilai kemanusiaan dalam pembangunan teknologi AI agar selari dengan etika dan tanggungjawab sosial.Turut diadakan ucaptama bertajuk “Teknologi Penintis Baharu: Agenda Kelestarian di Persimpangan” oleh Dr. Jeffrey D. Sachs, Pengarah Pusat Pembangunan Mampan di Universiti Columbia, Amerika Syarikat. Beliau menekankan kepentingan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan kelestarian global.Majlis diteruskan dengan sesi refleksi dan diakhiri dengan Majlis Penutup GHEF@FIO yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia. Sidang MYIDEAS 2025 berjaya menjadi platform berimpak tinggi untuk memperkukuh wacana nasional ke arah Malaysia yang berdaya saing dan berinovasi tinggi berteraskan nilai serta ilmu.


