PERTANDINGAN INOVASI PELAJAR JABATAN KEJURUTERAAN MEKANIKAL SESI 1 2025/2026
Oleh : Khadijah Mohd Zainuddin
4 November 2025, Politeknik Melaka - Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Melaka telah menganjurkan Pertandingan Inovasi Pelajar Kejuruteraan Mekanikal Sesi 1 :2025/2026 bertempat di Dewan Akademia (DeKa). Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini telah menghimpunkan sebanyak 16 penyertaan projek akhir daripada pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Semester 5 yang menampilkan pelbagai idea inovatif dan berimpak tinggi daripada 31 orang pelajar. Pertandingan ini telah dinilai oleh empat orang panel profesional yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, diketuai oleh Encik Fadzli Bin Jaafar, Pengarah MyIPO Wilayah Selatan dan diikuti Encik Nasir Bin Husin dari MNS Corporate Consulting Sdn Bhd, Encik Mohamad Shahril Bin Ibrahim dari Politeknik Kuching Sarawak dan Puan Noraini Binti Mohd Baidui dari Politeknik Merlimau. Daripada keseluruhan penyertaan, sebanyak tujuh projek telah dianugerahkan Pingat Gangsa, enam projek menerima Pingat Perak, dan tiga projek berjaya meraih Pingat Emas. Ketua Juri, Encik Fadzli Bin Jaafar menyatakan beliau amat berpuas hati dengan tahap kreativiti dan kesungguhan para pelajar. Ujar beliau juga, terdapat beberapa projek yang berjaya mengenengahkan idea-idea baharu dan telah diterjemahkan dalam bentuk prototaip yang berpotensi untuk dikomersialkan pada masa hadapan. Antara projek yang berjaya merangkul Pingat Emas termasuklah: Projek bertajuk Sistem Ampaian Pintar hasil ciptaan Lyanna Nicole Anak Krismis Tungkat dan Muhammad Daniel Syahmy Bin Hamzah di bawah penyeliaan Puan Noorhaslina Binti Azani telah merangkul Juara Keseluruhan pertandingan. Projek ini menampilkan solusi pintar dalam pengurusan ampaian yang praktikal dan efisien. Tempat kedua pula bertajuk Lumy Griper yang dibangunkan oleh Ahmad Razin Bin Rosli dan Muhammad Hakim bin Abu Ramlan dengan bimbingan Dr. Muhammad Hafiz Bin Kamarudin. Inovasi ini mengetengahkan teknologi griper yang berpotensi digunakan dalam pelbagai aplikasi industri. Manakala tempat ketiga bertajuk Sistem Mini Hidroelektrik untuk Kegunaan Domestik telah dihasilkan oleh Muhammad Danish Afiq Bin Affendy dan Nurul Natashah Binti Iesham di bawah penyeliaan Encik Mohd Hasni Bin Angterian. Projek ini memberi fokus kepada penyelesaian tenaga lestari berskala kecil yang sesuai untuk kegunaan rumah. Tahniah diucapkan kepada semua peserta atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan. Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk pelajar mempamerkan hasil kerja mereka, malah turut menyemai semangat inovasi dan kreativiti dalam kalangan generasi jurutera masa depan.
#PoliteknikMelaka #JabatanKejuruteraanMekanikal #InovasiPelajar #ProjekAkhir #PertandinganInovasi2025 #KejuruteraanUntukMasaDepan


