Selamat Datang ke

POLITEKNIK
MELAKA

Peneraju Institusi TVET Yang Unggul

Hubungi Kami

Politeknik Melaka, 28 Oktober 2025 – Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Melaka telah berjaya menganjurkan Program Menjulang TVET, Merintis Masa Depan bertempat di Dewan Akademia PMK, menghimpunkan pelajar, alumni, ahli akademik dan industri dalam satu platform perkongsian ilmu yang penuh inspirasi.

Program yang berlangsung seharian ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET, di samping membina keyakinan diri dan kesedaran terhadap peranan mereka sebagai tenaga mahir masa depan negara.

Majlis dimulakan dengan Taklimat Motivasi oleh Pn. Amira Binti Abdul Wahid, Pegawai Psikologi Politeknik Melaka, bertemakan Keyakinan Diri Teras Kecemerlangan. Sesi ini membuka minda pelajar tentang kepentingan kestabilan emosi, daya juang dan semangat positif sebagai asas kecemerlangan dalam akademik dan kehidupan.

Sesi diteruskan dengan perkongsian Ilmu bertajuk Meneroka Laluan TVET ke Alam Profesional yang disampaikan oleh Ts. Dr. Hazriq Izzuan Bin Jaafar dari UTeM, memberikan gambaran jelas tentang prospek kerjaya dan peluang sambung pengajian bagi graduan TVET.

Program turut menampilkan alumni JKE dalam slot Alumni Kembali: Jejak Inspirasi yang disampaikan oleh En. Muhammad Hanafi Bin Mohamed Borhan dari Syarikat Rockwool Sdn. Bhd. Beliau berkongsi perjalanan kerjayanya serta cabaran dunia industri moden dalam sesi bertajuk Menguasai Cabaran Industri 4.0, yang nyata memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berdaya saing.

Pada sesi petang, pelajar berpeluang menyertai Transfer Knowledge Session bertajuk Empowering the Future: Power Electronics and Sustainable Energy Systems at PETRONAS, disampaikan oleh En. Norulazmi Bin Abd. Aziz daripada Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd.. Sesi ini memperkenalkan aplikasi sebenar teknologi elektronik kuasa dan tenaga lestari dalam industri minyak dan gas, sejajar dengan topik pembelajaran pelajar dalam kursus Power Electronics.

Menurut Pn. Ameelia Binti Ibrahim, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, “program ini membuktikan bahawa TVET bukan lagi laluan alternatif, tetapi laluan masa depan. Pendedahan terus daripada alumni dan industri memberi inspirasi besar kepada pelajar untuk yakin dengan keupayaan diri serta terus maju dalam bidang teknikal.”

Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelajar dan berjaya mengukuhkan hubungan antara JKE, alumni serta rakan industri. Ia sekaligus mengangkat matlamat jabatan di bawah moto Menjulang Teknologi, Membina Insan, dalam melahirkan graduan TVET yang berilmu, yakin dan berdaya saing global.


Ikuti Kami
Ke Atas