Melaka, 11 April 2021 – Program CSR atau kini lebih dikenali sebagai Social Innovation (SI) merupakan program yang acapkali dilaksanakan oleh Inkubator Aircond & Electrical Wiring (A&E) Jabatan Kejuruteraan Elektrik, PMK. Namun begitu, disebabkan pandemik Covid19 yang melanda, banyak perancangan terpaksa ditunda. Pelaksanaan pembelajaran secara atas talian kini membuatkan pelajar hanya belajar di rumah dan mereka tidak perlu hadir ke politeknik. Ini menyukarkan lagi keadaan untuk melaksanakan program bersama masyarakat terutama untuk menyelenggara penyaman udara.

 

Bagi sesi Disember 2020 ini, JKE membuat pendekatan amali bersemuka secara penggiliran mengikut kelas. Atas kesempatan ini, Inkubator A&E mengambil peluang pelajar yang hadir untuk meneruskan misi bersama komuniti. Program CSR kali ini dibuat di Masjid An-Nur, Kampung Beringin Durian Tunggal, Melaka. Ucapan aluan daripada Pengerusi Masjid, Tn. Hj. Abu Bakar bin Alwi yang mengalu-alukan kehadiran para pelajar telah memberi semangat kepada pelajar bagi menyumbang bakti kepada masyarakat. Sambutan pihak jawatankuasa masjid juga begitu mesra. Selain mendapat pengalaman menyelenggara penghawa dingin, para pelajar juga berpeluang mendekati masyarakat. Turut hadir, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Ts. Hj. Zahidi bin Zamzuri dan beberapa orang pensyarah JKE.

Program sebegini mendapat tempat di hati pelajar memandangkan pihak jabatan dan Inkubator A&E kerap mengadakan CSR bermula dari pelajar masuk pengajian iaitu di semester 1. Semoga usaha jabatan dalam memberi pendedahan kepada pelajar bersama komuniti dapat membentuk semangat bermasyarakat di kalangan pelajar amnya mahupun warga JKE khasnya.