Politeknik Melaka, 9 April 2021 – Program Bakul Rezeki Ramadhan 1442H yang berlangsung bermula 23 Mac 2021 sehingga 6 April 2021 telah mendapat sambutan yang melebihi sasaran yang ditetapkan. Walaupun hanya mensasarkan kepada jumlah RM5000, namun jumlah yang lebih telah diperolehi menunjukkan ramai penyumbang yang begitu pemurah dan begitu bersemangat berkongsi rezeki. Program ini merupakan anjuran bersama Kelab Kebajikan Staf (KKS), Puspanita dan Muafakat PMK.

Kemuncak program ini adalah pada pagi Jumaat yang barakah apabila Tuan Pengarah PMK, Sr. Hj. Razali bin Razali telah menyampaikan 22 bakul rezeki kepada pekerja pembersihan dan pengawal PMK di surau Ar-Raudhah PMK. Selepas itu, Tuan Pengarah bergerak ke Surau Al-Mubarak, Taman Pokok Mangga bagi menyampaikan bakul rezeki dan duit raya kepada 11 orang anak yatim yang disaksikan oleh Timbalan Pengarah dan barisan AJK masjid. Keterujaan lebih terasa apabila sekumpulan staf PMK bergerak ke 25 buah rumah asnaf yang diketuai oleh En. Abd Halim Mahat, Ketua Jabatan Sukan dan Kokurikulum dan Ts. Hj. Zahidi Zamzuri, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Selain itu, bakul rezeki ini juga turut disumbangkan kepada keluarga pelajar PMK yang terkesan akibat pandemik Covid19.

Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan dikekalkan. Bersempena Ramadhan yang bakal menjelang, semoga ianya dapat memberikan sinar kegembiraan buat semua penerima dan terima kasih yang tidak terhingga buat semua penyumbang.