15 DISEMBER 2020, POLITEKNIK MELAKA - Selaras dengan hasrat pelaksanaan rasionalisasi laman web di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) dan Jabatan Pengajian Politeknik & Kolej Komuniti(JPPKK), termasuk di politeknik dan kolej komuniti, Politeknik Melaka komited dalam memastikan PMK mempunyai sistem penyampaian maklumat yang sentiasa dikemaskini, tepat dan mesra pengguna. Bertepatan dengan objektif tersebut, PMK telah berjaya melancarkan wajah baru laman portal rasmi PMK pada 15 Disember 2020 yang lalu.

Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Tn. Sr. Hj. Razali Bin Johari, Pengarah PMK di Majlis Perhimpunan Bulanan Staf PMK November & Disember 2020 anjuran JHEPP, UPS, UKs, EPep, ULPL dan UTM bertempat di Dewan Serbaguna PMK. Pelaksanaan rasionalisasi laman portal semua agensi di bawah JPPKK ini merupakan usaha yang telah dilaksanakan diperingkat JPPKK dalam memastikan semua agensi di bawahnya mempunyai sistem penyampaian maklumat rasmi yang selaras, efektif dan selamat. Turut dilancarkan pada hari majlis tersebut adalah Aplikasi Semakan Kehadiran Harian Staf PMK @ e-CLOCK yang telah dibangunkan untuk kemudahan staf PMK menyemak masa kehadiran setiap hari.

Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada semua warga PMK khususnya kepada semua Jawatankuasa Kerja Pengurusan dan Pasukan Pengurusan Kandungan Laman Web PMK serta Unit Teknologi Maklumat selaku urusetia dan peneraju yang telah menggagahi usaha memperbaharui representasi laman web PMK ke arah keselerasan dan rasionalisasi laman web agensi di bawah JPPKK dan KPT. Semoga dengan kedatangan tahun baru 2021 akan datang, maka laman portal ini diharapkan akan dapat mempermudahkan pelbagai hebahan dan muat turun untuk keselesaan semua warga PMK keseluruhannya. Syabas dan terima kasih juga diucapkan kepada pembangun aplikasi semakan kehadiran, En Abd Razak Bin Md Nor serta Bahagian Khidmat Pengurusan dan Unit Teknologi Maklumat di atas kerjasama yang telah diberikan bagi memastikan usaha tersebut tercapai. Semoga dengan adanya medium e-CLOCK tersebut dapat memberi manfaat kepada semua staf PMK khususnya.

Ikuti sorotan tayangan Majlis Perhimpunan Bulanan Staf PMK November & Disember 2020 di url Youtube PMK (Klik url ini : https://www.youtube.com/watch?v=n1vi9cATl_M&feature=youtu.be) yang menyaksikan pelbagai agenda seperti Pelancaran Laman Portal Baharu PMK, Penyampaian Sijil Anugerah Tribulanan PMK, Anugerah KIK 2020, Penyampaian Sijil Penghargaan JK Laman Portal PMK 2019/2020 serta Penyerahan Cek Takaful Kepada Keluarga Arwah Pelajar.